Masalah Stateless di Sabah

 Tawau bukan sahaja unik kerana lokasinya yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Filipina, tetapi juga kerana ekonominya yang banyak bergantung pada industri kelapa sawit.

Di sini, kebanyakan ladang kelapa sawit menggunakan buruh asing. Antara sebab utamanya ialah faktor gaji serta kehidupan yang lebih mencabar di negara asal mereka. Oleh itu, tidak hairanlah Tawau menjadi destinasi pilihan untuk mencari rezeki.


Ramai dalam kalangan warga asing ini datang ke sini selepas mendapat maklumat daripada kenalan atau ahli keluarga mengenai peluang pekerjaan dan gaji yang lebih baik. Apabila ada permintaan, pasti ada bekalan. Oleh itu, sindiket penyeludupan buruh asing menjadi semakin sukar untuk dikawal.


Oleh itu, perkahwinan campur dengan penduduk tempatan sukar dielakkan. Namun, ibu bapa sering melarangnya kerana masalah dokumen seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan. Walaupun begitu, ada remaja yang tetap memilih pasangan mereka sehingga sanggup meninggalkan rumah.


Selepas mereka mempunyai anak, kesan buruk mula kelihatan. Disebabkan kanak-kanak ini tidak mempunyai dokumen yang sah, mereka tidak dapat bersekolah seperti biasa dan ada yang terpaksa belajar di luar kelas, malah akhirnya tercicir daripada pendidikan.


Masalah ini berlaku apabila salah seorang pasangan merupakan pendatang asing, contohnya suami mempunyai pasport manakala isteri memiliki kad pengenalan, atau sebaliknya. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk berkahwin secara sah mengikut peraturan di negara kita.


Sebagai alternatif, ada yang memilih untuk berkahwin secara tidak rasmi. Apabila isteri melahirkan anak di hospital kerajaan, kos yang dikenakan adalah tinggi dan di luar kemampuan mereka. Oleh itu, kebanyakan mereka memilih untuk bersalin di rumah dengan bantuan bidan kampung. Dalam sesetengah kes, jika bidan tidak dapat dihubungi, suami sendiri terpaksa membantu proses kelahiran.


Keadaan ini amat membimbangkan. Mereka ialah kanak-kanak yang berpotensi menjadi pemimpin dan generasi masa depan di daerah ini, namun tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan pendidikan. Jumlah mereka juga bukan sedikit. Menurut sumber yang dipercayai, lebih 60,000 orang di Sabah menghadapi masalah dokumen.


Orang tua telah menasihati anak-anak mereka, namun nasihat itu tidak diendahkan, malah ada yang melanggarnya. Apabila kanak-kanak ini meningkat remaja, keadaan menjadi semakin menyedihkan. Mereka masih muda, tetapi tanpa dokumen yang sah, di manakah tempat mereka untuk tinggal? Akhirnya, mereka menjadi seperti pelarian di tempat kelahiran sendiri.


Kanak-kanak ini terpaksa meneruskan kehidupan walaupun tanpa pendidikan. Mereka dilahirkan dan membesar di sini, malah bertutur dalam loghat Tawau, namun masih tidak mempunyai dokumen yang sah. Jika kita terus menuding jari dan menyalahkan ibu bapa mereka, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, kita perlu bertindak segera dari sekarang.


Kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan berisiko lebih tinggi terdedah kepada pengaruh negatif kerana kekurangan pilihan. Mereka ingin bekerja, namun tidak diterima kerana tiada dokumen yang sah. Mereka bukan pihak asing, sebaliknya sebahagian daripada masyarakat kita sendiri. Jabatan Pendaftaran Negara tidak dapat mengeluarkan sijil kelahiran jika dokumen ibu bapa tidak lengkap. Akibatnya, situasi ini sukar diselesaikan tanpa intervensi yang sewajarnya.


Penjenayah tidak semestinya ramai untuk menimbulkan masalah besar. Malah, seorang individu sahaja sudah cukup untuk mengganggu keamanan sesuatu tempat. Jika bilangannya masih kecil, ia mungkin boleh dikawal, tetapi apabila semakin ramai, ia akan memberi kesan kepada semua penduduk di Tawau. Oleh itu, diharapkan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama di kawasan ini.


Hill Top merupakan pusat tahanan sementara bagi warga asing. Jumlah mereka sangat ramai sehingga pada satu ketika, pusat tersebut tidak lagi mampu menampung kesemua tahanan. Di kawasan pintu masuk, penduduk tempatan mengambil peluang untuk berniaga makanan.


Isu ini telah mendapat perhatian dan kritikan di peringkat antarabangsa dengan dakwaan bahawa Malaysia gagal menangani kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) yang berlarutan sehingga hari ini. Hal ini memberi kesan kepada imej dan nama baik Malaysia di mata dunia. Diharapkan isu ini dapat diselesaikan segera oleh kerajaan perpaduan.


Harapan kami ialah agar pemimpin politik demokratik di negara ini dapat melihat isu ini dengan jelas dan menganggapnya sebagai satu aspek penting dalam pembangunan masyarakat. Isu ini perlu diberi perhatian serius supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.


Kemaskini terakhir: 2026


Penafian: Artikel ini diterbitkan untuk tujuan kajian sosial dan kesedaran akademik mengenai isu dokumentasi di Sabah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KERJA KONKRIT

PRU 15: Kedudukan Kerusi Parlimen

CABARAN MALAYSIA