DALAM DILEMA

Bayangkan satu projek kabinet dapur yang mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan, bermula pada 2 Disember 2021 dan siap pada 8 Februari 2022. Jika dua projek seperti ini berlaku serentak, saya sendiri tidak mampu menahan tekanan, lebih-lebih lagi apabila tekanan itu datang daripada keluarga sendiri.

Kerja saya lambat bukan kerana kurang cekap, tetapi kerana dalam masa yang sama saya perlu membantu keluarga yang memerlukan. Saya tahu ada orang bercakap di belakang saya, dan itulah yang paling menyakitkan apabila orang yang kita bantu, merekalah yang paling kuat mengata.

Saya pernah rasa dibuli, namun itulah hakikat hidup berkeluarga. Saya buat kerja dengan jujur dan sepenuh hati, tetapi masih ada yang hanya melihat cacat dan kekurangan. Sedangkan saya sendiri memiliki sijil ketukangan daripada Institut Latihan Perindustrian Labuan, dan hasil kerja tangan ini bukan rekaan atau penipuan.

Untuk kelangsungan hidup, saya terpaksa melakukan kerja lain dan mencuba pengalaman baharu asalkan ada pendapatan. Kadang saya teringat pesan guru di sekolah dahulu, yang memuji hasil kerja saya sebagai antara yang paling kemas dan cantik. Kini, kawan-kawan seperjuangan sudah memilih laluan kerjaya lain demi keluarga dan anak-anak, manakala saya masih bertahan dalam bidang ini.

Saya bersyukur kerana masih ada pelanggan yang sabar dan memahami cara kerja saya yang teliti dan perlahan. Mereka tahu, jika orang lain yang buat, hasilnya belum tentu menepati cita rasa mereka. Namun, ada juga suara sumbang yang menuduh harga saya mahal, sedangkan apabila mereka mencuba orang lain, barulah mereka sedar harga saya sebenarnya murah.

Saya pasrah kerana semua rezeki datangnya daripada Tuhan. Kadang bantuan keluarga terasa seperti hidangan enak yang dicampur racun, kerana kelemahan saya dijadikan bukti untuk menjatuhkan saya. Saya sudah menjelaskan sebaik mungkin, namun jika orang tidak mahu faham, penjelasan tidak lagi bermakna.

Saya memilih untuk mengalah, bukan kerana kalah, tetapi kerana percaya merendah diri akan meninggikan martabat seseorang. Dalam dunia ini, orang yang pandai bercakap walaupun salah tetap dipercayai, manakala orang yang jujur tetapi diam sering dipandang hina.

Rezeki bukan datang daripada mulut manusia, tetapi daripada Tuhan. Walaupun keluarga sendiri menjauhkan diri, jika Tuhan berkehendak, rezeki akan datang dengan cara yang tidak pernah kita sangka. Setiap orang berusaha dengan cara masing-masing, dan setiap kepercayaan menyerahkan hasil kepada Tuhan.

Jika ada peluang, saya akan cuba bidang lain sebagai sumber pendapatan tambahan, kerana projek kabinet dapur tidak datang selalu. Mesin yang saya miliki juga bukan mesin industri mahal seperti di sekolah latihan. Harga mesin seperti jointer planner mencecah RM7,000, dan permohonan bantuan perniagaan pula sering tidak lulus.

Namun, semangat untuk menyambung pengajian tidak pernah padam selagi kesihatan mengizinkan. Jika satu jalan ditutup, saya percaya Tuhan akan membuka jalan lain. Dengan sijil kemahiran asas yang dianugerahkan kerajaan, saya berharap suatu hari dapat melangkah sehingga ke peringkat Diploma Pentadbiran Perniagaan di OUM Tawau, sebagai bekal untuk masa depan

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KERJA KONKRIT

PRU 15: ANALISIS KEDUDUKAN KERUSI DI PARLIMEN

CABARAN MALAYSIA